Saturday, February 6, 2021

9 KELEBIHAN ZIKIR


Zikir bukan sahaja dilakukan selepas solat tapi boleh pada pada bila-bila masa. Sibuk dengan aktiviti harian bukan bermakna tiada ruang untuk berzikir. Ia paling mudah dilakukan, namun kebaikannya terlalu besar untuk disia-siakan.

#1 – Menghalau Syaitan

Syaitan benci kepada manusia yang patuh kepada perintah Allah. Kerana itulah ia sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Pelbagai hasutan dibisikkan supaya manusia mendapat kemurkaan Allah.

Tatkala seorang manusia berzikir, zikir yang dibacanya dengan serta-merta menjadi pendinding diri. Syaitan menjadi lemah kerana manusia yang dihasutnya kini sedang dalam kekuatan. Lalu, syaitan bertindak menjauhkan diri.

#2 – Allah Ingat Kepadanya

Sebagai Pencipta dan Pemilik seluruh alam semesta, tentunya Allah suka kepada hambaNya yang mengingatiNya.

Allah berfirman yang bermaksud ;

“Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu ingkar kepadaKu.” (Al-Baqarah: 152)

Jika kita ingat kepada Allah semasa senang, Allah pasti akan mengingati kita semasa sukar.

Cahaya menerangi seluruh diri dan hidup sesiapa yang mengingati Allah. Apa yang dipohon kepada Allah, insyaAllah akan dimakbulkan olehNya. Siapa yang berusaha untuk dekat kepadaNya pasti mendapat apa yang dingininya.

“Aku Bersama HambaKu Yang MengingatiKu.” (Sahih al-Bukhari)

#3 – Menanam Rasa Syukur

Zikir menjadi asas rasa syukur kita kepada Allah S.W.T. Semakin banyak kita berzikir bermaksud semakin banyak kesyukuran kita kepada Allah.

Lidah yang basah kerana zikir terlepas dari mengatakan hal-hal yang tidak baik dan merosakkan. Apa jua kerosakan yang berpunca dari lidah seperti menipu, mengumpat dan memfitnah telah terhalang oleh kebiasaan berzikir.

#4 – Menambah Cinta Kepada Allah

Bila kita cintakan seseorang, nama dan dirinya selalu disebut dan diingati. Perasaan orang bercinta begitu indah sehingga sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata. Begitulah juga bila kita bercinta dengan Allah. Semakin banyak kita berzikir, semakin dekat Allah mengisi hati kita. Zikir menjadi kunci kita kepada pintu cintaNya.

Perasaan sedar akan kebesaran Allah inilah yang menjadikan kita umat Islam yang hebat bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Kita yakin Allah adalah satu-satunya di hati kita, yang melindungi, yang membimbing, dan yang membahagiakan. KepadaNya jualah tempat kita meletakkan sepenuh harapan.

#5 – Membersihkan Hati

Zikir adalah ubat bagi semua penyakit hati. Hati yang kotor kembali suci dengan zikir. Hati yang mati, hidup semula kerana mengingati Allah.

Seperti kata Ibn Taymiyyah ;

Perlunya zikir kepada hati sama seperti air diperlukan oleh seekor ikan. Maka, zikir ini juga sering dikatakan sebagai makanan kepada hati dan jiwa.

Hamba yang lalai dalam mengingati Allah, akan meletakkan hatinya dalam kejauhan dan kekosongan. Ini kerana Allah bukan lagi menjadi keutamaan. Dirinya sentiasa mencari sesuatu bagi mengisi hati yang sering kosong.

Hati yang dikawal oleh zikir pula sudah dipenuhi dengan kasih dan sayang Allah. Ia menjadikan pemiliknya mendapat nikmat yang tidak mampu dibeli walau dengan seluruh kekayaan di dunia ini.

#6 – Membuang Kebimbangan

Dalam kesukaran, tambahkan zikir.

Sebutlah “Subhanallah”, “Alhamdulillah”, dan “Allahu Akhbar.”

Pujian, kesyukuran dan mengingati kebesaran Allah ini akan melegakan hati dan minda yang dilanda kebimbangan. Hanya Allah Yang Maha Kuasa Berkuasa di atas segalanya. Apa yang berlaku hanya akan berlaku atas keizinan Allah SWT sahaja. Maka pergantungan kita hanya kepada Allah Yang Maha Mengetahui.

Lalu, zikir menukar perasaan bimbang itu kepada ketenangan dan kegembiraan. Semua ketakutan hilang serta-merta kerana keyakinan kepada Allah. Hati dan minda yang tenang secara langsung menjadikan kita hamba yang kuat. Orang yang mempunyai hati yang tenang pasti akan terpancar di wajahnya cahaya kebahagiaan.

#7 – Mendapat Kebaikan Di Dunia

Orang yang sedang berzikir dkelilingi para malaikat. Hidupnya sentiasa dalam keberkatan dari Allah. Zikir menimbulkan keseronokan untuk melakukan ibadah-ibadah yang lain.

Segala yang dilakukan di dunia mendapat pertolongan daripada Allah SWT. Zikir mengurangkan beban seseorang. Sebagai contoh, Fatimah R.A. mengadu kepada Rasulullah kerana keletihan melakukan tugasan hariannya.

Rasulullah menasihatkan Fatimah R.A agar berzikir ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, dan ‘Allahu Akhbar’.

#8 – Mendapat Ganjaran Dari Allah

Walaupun zikir amat mudah dilakukan, namun ganjarannya begitu besar. Allah memberi keampunan dan pahala buat hamba yang berzikir kepadaNya. Dirinya seperti berada di dalam taman syurga di mana kebaikan mengelilingi dirinya. Zikir menjadi sumber pahala buat diri mereka yang mengamalkannya.

Sekumpulan orang miskin bertemu Rasulullah mengadu tentang pahala yang lebih besar bagi mereka yang kaya dan berharta kerana kemampuan mereka. Mereka mengadu, “Orang-orang kaya bersolat dan berpuasa seperti kami tapi mereka melebihi kami dalam mengerjakan haji dan umrah, dan berjihad dengan harta mereka.” Rasulullah kemudian menasihatkan mereka untuk mengucapkan ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘Allahu Akhbar’ setiap kali selepas solat. (Sahih Bukhari)

Ini menunjukkan yang kepentingan berzikir telah menyamai pelbagai bentuk ibadat seperti umrah, haji, jihad dan sebagainya.

#9 – Mendapat Kebaikan Akhirat

Dalam kesunyian malam, bibir mengucapkan zikir diiringi air mata. Kebaikan akhirat pastinya impian bagi semua umat Islam. Zikir menjadi cahaya bukan sahaja semasa hidup, malah cahayanya turut menerangi kuburnya kelak.

Di akhirat kelak, zikir juga memberi manfaat kepada yang sentiasa melakukannya. Zikir boleh menyelamatkan diri daripada api neraka yang amat menyeksakan.

Orang yang bertakwa menyibukkan dirinya dengan zikir. Dalam duduk, berdiri, berjalan dan baringnya sentiasa ada Allah. Dunia menjadi saksi amalannya. Dan pastinya tempat mereka yang bertakwa adalah syurga Allah.

Friday, February 5, 2021

PENTINGNYA ILMU PENGETAHUAN DALAM KEHIDUPAN

Allah Subhanahu Wata'ala mewajibkan hamba-hambaNya untuk menuntut ilmu. Ilmu adalah kunci kejayaan untuk mencapai keselamatan, kesejahteraan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Kita adalah digalakkan untuk menuntut ilmu kerana ilmu itu adalah cahaya dan hidayah yang menerangi kehidupan manusia dari kegelapan dan kejahilan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali-Imran ayat 18:

“Allah menerangkan kepada sekalian makhluknya dengan dalil dan bukti bahawa tiada Tuhan berhak disembah melainkan Dia, yang mentadbir seluruh alam dengan keadilan, demikian juga para malaikat serta orang-orang yang berilmu berikrar dan mengakui juga bahawa tiada Tuhan melainkan Dia yang Maha Perkasa lagi Bijaksana”

Imam As-Syafiee Rahimatullah Taala mengenai perkara menuntut ilmu ini telah berkata dalam wasiatnya: Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjaga kamu dan membuat kamu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ilmu yang sebenar-benarnya adalah ilmu yang mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Agama Islam amat menggalakkan dan menganjurkan umatnya supaya menerapkan ilmu agama kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ibubapa bertanggungjawab menjaga amanah Allah Subhanahu Wata'ala ini dengan sebaik-baiknya dengan memberikan anak-anak mereka pendidikan yang sempurna dan seimbang iaitu duniawi dan ukhrawi bagi membentuk jati diri yang menetap dan muslim yang sejati dan sebenar.

Sesungguhnya tanpa ilmu pengetahuan, hidup manusia akan berada di dalam kegelapan. Tanpa ilmu, kehidupan manusia tidak akan maju dan tanpanya juga manusia tidak dapat membezakan antara kebenaran dengan kebatilan. Dengan ilmu sahajalah seseorang akan terselamat daripada tipu daya syaitan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 269:

“Dia (Allah) memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebajikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang mempunyai akal yang dapat memikir dan memahaminya.”

Sesungguhnya kita diwajibkan menuntut ilmu kerana ganjaran dan kelebihannya adalah sangat besar, antaranya:

Pertama: Dipermudahkan jalan menuju ke syurga. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan maka Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan untuk ke syurga.

Kedua: Dalam syarah hadis empat puluh karangan Imam An-Nawawi bahawa barangsiapa beramal dengan apa yang diketahuinya, Allah akan mewarisi untuknya ilmu yang tidak diketahuinya.

Ketiga: Orang yang berilmu pengetahuan dipandang tinggi oleh masyarakat dan orang yang memiliki ilmu juga sangatlah beruntung kerana ilmu itu adalah jiwa dan harta yang tidak akan hilang dan habis.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat mementingkan mengenai hal ehwal pendidikan di negara ini. Kajian dan kemajuan negara di masa hadapan sangat bergantung kepada keupayaan pendidikan untuk menhasilkan modal insan yang berkualiti tinggi.

Ke arah dan juga sebagaimana stratigik pendidikan wawasan negara 2035, Kementerian Pendidkan telah mengenal pasti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Programme for International Student Assessment – PISA) sebagai salah satu berfikir. Dengan penanda aras antarabangsa seperti PISA, In Sya Allah akan dapat membantu pasti peluang-peluang dalam mencapai kejayaan pendidikan dan juga sebagai pemaju ke arah usaha pembaharuan dan pembangunan pendidikan. Penyertaan Brunei Darussalam dalam PISA 2018 adalah selaras dengan hasrat Wawasan Negara 2035 iaitu melahirkan warga negara yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi dan akan dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber manusia yang berilmu, berkemahiran dan bertamadun tinggi.

Sesungguhnya ilmu pengetahuan itu sangat berharga dan ilmu itu tidak akan diperolehi jika tidak dicari dan dipelajari. Oleh itu semua orang perlu berusaha mencari dan menuntut ilmu sebanyak mungkin dan terus meningkatkannya dari semasa ke semasa. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga kita tergolong daripada kalangan orang-orang sentiasa ditambahkan ilmu pengetahuan, mempunyai fahaman para nabi, ilmu hafazan para rasul, mempunyai ilham para malaikat dan memperolehi keafiatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan seterusnya akan mendapat kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Thaha ayat 114:

“Maka Maha Tinggi Allah yang menguasai lagi Maha Benar. Dan janganlah engkau (wahai Nabi Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Qur’an sebelum selasai diwahyukan kepadamu dan berdoalah: Ya Tuhanku! Tambahilah aku ilmu”

Thursday, February 4, 2021

KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH DI MASJID


Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Pahala solat seseorang dengan berjamaah melebihi pahala solatnya di rumah dan di pasar sebanyak dua puluh lima darjat. Hal tersebut, kerana apabila seseorang di antara kalian berwuduk, lalu memperelokkan wuduknya, kemudian pergi ke masjid semata mata kerana untuk mengerjakan solat, dan kesempatan itu hanya dipergunakan untuk solat, maka orang tersebut tidak melangkah satu langkah, kecuali setiap langkahnya itu diangkat baginya satu darjat, dan dihapus darinya satu dosa, sampai dia masuk ke dalam masjid. Apabila dia telah masuk masjid, maka dia dikira dalam keadaan solat selama tertahan kerana solat (tidak keluar dari masjid kerana menunggu solat), dan para malaikat akan berselawat (memohonkan rahmat dan ampunan) kepada seseorang di antara kalian, selama dia tetap berada di tempat dia mengerjakan solatnya, mereka (para malaikat) berdoa; Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia dan terimalah taubatnya. Para malaikat itu berdoa demikian selama orang itu tidak mengganggu orang lain di tempat itu atau berhadats."
(HR Abu Daud No: 472) Status: Hadis Sahih

Banyak kelebihan orang yang mengerjakan solat berjemaah di masjid, antaranya:


1.  Pahala solat berjamaah melebihi 25 kali ganda pahala solat di rumah dan di pasar.
2.  Seseorang yang berwuduk dengan sempurna kemudian pergi ke masjid semata-mata untuk mengerjakan solat berjamaah, maka setiap satu langkah, akan diangkat baginya satu darjat, dan langkah seterusnya dihapus darinya satu dosa. (Pastikan kita berwuduk di rumah terlebih dahulu sebelum ke masjid).
3.  Apabila dia masuk masjid, maka dia dikira dalam keadaan solat selama tidak keluar dari masjid kerana menunggu solat berikutnya.
4.  Orang tersebut akan didoakan para malaikat (memohonkan rahmat dan ampunan oleh malaikat) selama dia tetap berada di tempat dia mengerjakan solatnya iaitu dimasjid.
5.  Para malaikat akan berdoa untuknya agar diampunkan dosa, di rahmati kehidupannya dan diterima taubatnya. Didoakan malaikat  selama orang itu tidak mengganggu orang lain di tempat solat (seperti tidak menganggu solat orang lain dengan menguatkan suara ketika berbual, berzikir atau membaca al-Quran) dan selama dia berwuduk. 

Rebut peluang ganjaran berganda untuk solat berjemaah di masjid selagi hayat dikandung badan.

Wednesday, February 3, 2021

SIFAT PEMAAF RASULULLAH

NABI Muhammad SAW ialah seorang nabi dan rasul yang memiliki akhlak terpuji. Baginda seorang insan mulia yang sanggup memaafkan kesalahan orang lain.

Pada suatu hari, ketika baginda sedang berehat-rehat, datanglah seorang wanita Yahudi membawa hidangan yang lazat berupa kambing panggang.

Wanita itu mengetahui bahawa Rasulullah amat gemar kambing panggang.

Bahagian kegemaran baginda ialah paha kanan bahagian depan. Lalu wanita tersebut menabur racun di atas kambing panggang itu.

Dia melebihkan racun di paha kanan hadapan kambing yang dihidangkan itu.

Setelah melihat hidangan itu, maka Rasulullah pun berasa lapar. Selepas membaca bismillah, baginda pun makan dengan berselera sekali.

Baginda makan bersama seorang sahabat, Bisyir bin Barra bin Ma'rur. Namun, sewaktu baginda sedang mengunyah makanan itu, timbul perasaan was-was di hati.

Rasulullah pun meluahkan kembali daging kambing panggang yang sedang dikunyah.

Ternyata suara hati baginda itu benar. Bisyir bin Barra bin Ma'rur telah menjadi korban. Sahabat baginda itu meninggal dunia kerana termakan racun dalam makanan tersebut.

Rasulullah pun bertanya dan wanita Yahudi itu mengaku secara berterus terang tanpa berselindung berkata: "Aku mahu menguji kamu. Jika engkau seorang rasul, sudah pasti engkau akan mendapat petunjuk mengenai hal ini. Tetapi kalau engkau hanya orang biasa, maka aku pasti merasa puas kerana dapat menyingkirmu kerana engkau telah banyak membawa kemusnahan kepada kaum Yahudi."

Rasulullah mendengar penjelasan wanita itu dengan tenang. Kemudian, baginda pun memaafkan wanita itu. Baginda tidak menghukum wanita itu walaupun perbuatannya itu telah mengakibatkan kematian seorang sahabat baginda.

Baginda sanggup memberi kemaafan kepada seorang wanita yang ternyata mahu membunuh baginda.

Tuesday, February 2, 2021

PERJALANAN DAKWAH RASULULLAH KE TAIF

SELEPAS penduduk Mekah menentang Rasulullah, baginda mula risau terhadap keselamatan para pengikutnya. Baginda berusaha mencari tempat baru di luar kota Mekah.

Selepas berbincang, baginda pun memilih Taif yang terletak kira-kira 135 kilometer (km) ke arah Tenggara Mekah.

Baginda berharap para pembesar daripada Bani Thaqif akan menerima baginda dengan baik. Bani Thaqif mempunyai hubungan dengan Bani Hashim, iaitu keturunan baginda. Baginda bertolak ke Taif dengan pembantunya, Zaid bin Harithah. Perjalanan itu mengambil masa selama 10 hari.

Apabila sampai di Taif, mereka sangat kagum dengan keindahan daerah itu. Tanaman hidup subur dan binatang ternakan sangat sihat.

Rasulullah dan Zaid pergi menemui para pembesar daerah itu. Apabila baginda memberitahu niat baginda datang ke Taif, para pembesar segera menghalau mereka.

"Pergi kau dari sini. Kami tidak menyediakan tempat untuk orang seperti kau," halau para pembesar. Baginda juga dihina dan dicerca.

Rasulullah menerima cacian tersebut dengan tenang. Baginda tidak menaruh dendam kepada mereka. Para pembesar telah melakukan bermacam-macam perkara untuk menentang Rasullullah daripada berdakwah. Baginda tidak menghiraukan ugutan mereka. Baginda terus menyeru penduduk Taif agar memeluk agama Islam.

Apabila gagal mengusir Rasulullah, mereka menyuruh semua penduduk Taif mengejek dan menghina baginda. Ramai penduduk Taif akur. Apabila Rasulullah dan Zaid lalu di hadapan mereka, mereka akan mengejek baginda.

Namun baginda hanya tersenyum. Ada juga yang kagum dengan kesabaran baginda. Namun bilangan mereka itu kecil sahaja. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

Penduduk Taif mencapai kayu dan batu lalu membaling ke arah Rasulullah dan Zaid. "Berlindunglah di belakang saya, Rasulullah," kata Zaid.

Zaid melindungi Rasulullah. Apabila ada kayu atau batu dibaling ke arah mereka, Zaid akan segera menepis.

Beliau mengalami luka parah akibat terkena batu dan kayu yang dibaling itu. Zaid tidak menghiraukan kesakitannya. Kasih sayangnya terhadap Rasulullah melebihi segala-galanya. Rasulullah hanya mengalami cedera ringan sahaja.

Rasulullah dan Zaid berjalan keluar dari Kota Taif dalam keadaan cedera dan keletihan. Baginda kesal dengan sikap penduduk Taif. Selama sepuluh hari baginda berdakwah dan mengajak mereka menyembah Allah, mereka masih enggan.

"Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu. Aku hanyalah hamba-Mu yang lemah. Aku mengaku penghinaan manusia terhadapku," doa baginda sewaktu dalam perjalanan.

Malaikat Jibrail mendengar doa itu. Lalu meminta kebenaran untuk menurunkan bala ke atas penduduk Taif. Baginda tidak membenarkannya.

Baginda berdoa kepada Allah supaya memberikan rahmat dan hidayah kepada orang-orang yang telah menghina dan mencaci baginda.

Begitulah mulianya hati Nabi Muhammad SAW. Walaupun dihina, dikeji, malah dicederakan, baginda tetap mendoakan agar orang yang menganiayai baginda memperoleh kebaikan.

Monday, February 1, 2021

KEISLAMAN ABU DZAR

Abu Dzar berasal daripada bani Ghiffar dan dia adalah antara orang yang tak suka dengan kebiasaan jahiliah seperti sembah berhala.

Dia termasuk dalam golongan orang hanif yang tak sekutukan Allah, malah sebelum masuk Islam lagi dia dan solat selama tiga tahun cuma tak khususkan arah kiblat ke mana arah dia menghadap.

Dia tahu tentang dakwah Rasulullah masa awal perkembangan Islam, lalu dia datang ke Makkah. Kebetulan, Ali bertemu dengannya pada suatu malam ketika Abu Dzar berbaring tidur di suatu tempat di Makkah.

Lalu, Ali mengajak Abu Dzar sebagai tetamu. Selama tiga hari, Abu Dzar langsung tak beritahu Ali bahawa dia sedang mencari Rasulullah, akhirnya setelah thiqah atau percaya dengan Ali barulah Abu Dzar beritahu yang dia nak cari Rasulullah.

Ali dengan penuh kerahsiaan dan berhati-hati, membawa Abu Dzar bertemu Rasulullah di markas dakwah iaitu Darul Arqam, yang juga rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Lalu, Abu Dzar pun masuk Islam.

Setelah tu, Rasulullah minta Abu Dzar pulang semula kepada kaumnya dan beritahu pada kaumnya tentang Islam pada waktu yang sesuai. Tak cukup dengan tu, Abu Dzar dengan berani berkata yang dia akan umumkan keislamannya di hadapan orang-orang Quraisy.

Abu Dzar berada di kawasan Kaabah dan berkata dengan suara keras: “Aku beersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah.”

Lalu, dia dipukul kaum musyrikin sehingga dia tersungkur, namun dia diselamatkan oleh Abbas bin Abdul Muttalib yang beri peringatan bahawa kemungkinan bani Ghiffar akan datang untuk balas dendam sebab mereka pukul Abu Dzar.

Setelah tu, Abu Dzar sangat berjasa pada Islam setelah mampu mengislamkan separuh penduduk bani Ghiffar sebelum hijrah, dan separuh yang lain masuk Islam selepas hijrah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr. Ali Muhammad As-Shallabi)

9 KELEBIHAN ZIKIR

Zikir bukan sahaja dilakukan selepas solat tapi boleh pada pada bila-bila masa. Sibuk dengan aktiviti harian bukan bermakna tiada ruang untu...